Sabtu, 29 Disember 2007

Hari Warga PASTI Tebrau


Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) Tebrau telah berjaya menganjurkan Hari Warga PASTI pada 8-9 Disember 2007 yang lalu bertempat di Tiram Indah Village.

Program ini diadakan dengan matlamat untuk menambahbaik perjalanan PASTI dari segi pengurusan, pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ia juga bertujuan merapatkan ukhuwwah antara warga PASTI Tebrau yang terdiri daripada pihak pengurusan, guru-guru dan AJK yang terdiri daripada Pemuda dan Muslimat Kawasan. Seramai 30 orang hadir sebagai peserta program ini.















Program dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Sdr Mazlan Aliman yang merupakan antara tenaga penggerak utama dalam penubuhan PASTI di negeri Johor pada peringkat awal tahun 90-an. Beliau sedikit sebanyak menyentuh matlamat sebenar penubuhan PASTI adalah berasaskan kesedaran perlunya pendidikan Islam di peringkat kanak-kanak supaya dapat menjadi asas kepada pembentukan insan yang sempurna dari segi akhlak, akademik, dan sosial. Beliau juga memberi penekanan bahawa perlunya petugas-petugas dan tenaga pendidik PASTI menanamkan sifat ikhlas dalam melaksanakan tugas mendidik anak-anak supaya dapat membentuk peribadi yang benar-benar soleh.













Antara pengisian yang dijalankan ialah bengkel 'brainstorming' untuk merangka pelan tindakan memantapkan aspek pengurusan dan pengajaran PASTI dalam jangka masa panjang.
Bengkel yang diadakan ini telah berjaya menghasilkan satu rangka kerja yang tersusun yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.














Semoga program seperti ini benar-benar dapat memberikan natijah yang baik ke arah memperkasakan PASTI di masa hadapan, insyaAllah.

Khamis, 15 November 2007

Rumah Terbuka Pas Kawasan Tebrau

Baru-baru ini, Pas kawasan Tebrau telah mengadakan program rumah terbuka sempena syawal yang diadakan di Markaz Pas cawangan Bacang, Tmn. Kota Masai.

Program ini diadakan dengan kehadiran orang ramai terdiri dari masyarakat setempat dan penyokong Pas dari Tebrau dan jirannya Pasir Gudang.

Program ini, selain daripada mengeratkan hubungan antara masyarakat, ia juga bertujuan memberi gambaran mengenai keterbukaan pas kepada masyarakat umum.


Ia juga dengan kata lain, dapat menangkis tohmahan kepada parti pembangkang yang dilabel pencetus rusuhan yang disiar di media arus perdana yang berniat memutarbelitkan isu atas kepentingan parti pemerintah.


Pada lewat petangnya, para hadirin dikejutkan dengan satu dentuman kuat yang datang dari arah jalan utama tidak jauh dari tempat program ini diadakan. Beberapa petugas Pas bergegas ke seberang jalan utama tersebut yang kemudiannya mendapati sebuah kereta jenis proton saga telah melanggar sebatang pokok di bahu jalan.


Dengan keadaan kereta yang hampir terbelah dan pokok yang akarnya hampir tercabut memberi gambaran kekuatan hentakan yang dialami 5 orang mangsa yang difahamkan sedang dalam perjalanan ke Kulai.

Empat dari mereka mengalami cedera ringan, sementara pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan serius di kepala dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kesemua mangsa dikeluarkan dari pintu belakang sebelah kiri dengan mengumpil menggunakan besi panjang sambil dibantu oleh orang ramai.


Kenderaan ambulan dari Hospital berhampiran hadir sejurus kelima-kelima mangsa berjaya dikeluarkan. Mereka semua dihantar ke hospital untuk menerima rawatan susulan.

Pihak bomba yang hadir tidak lama selepas itu mengucapkan terima kasih kepada Ajk Pas dan orang ramai yang bertindak pantas mengeluarkan mangsa dengan selamat.


Petugas dari jabatan bomba kemudiannya menerima pelawaan sdr. Shamsul, Ketua Pemuda Pas Tebrau untuk menghadiri majlis rumah terbuka di sini.